Ketahui Tanda-Tanda Awal Penyakit Leukemia Pada Anak Anda

Ibu bapa, cuba perhatikan sama ada anak anda mudah letih, nafas pendek, mudah terkena jangkitan penyakit, lebam di badan dan hilang selera makan. Jika jawapannya ya, segera bawa anak berjumpa doktor kerana ia mungkin tanda awal penyakit leukemia.



Leukemia ialah satu daripada barah yang berpunca daripada pertambahan sel darah putih. Ini memudaratkan kesihatan kerana boleh menyebabkan kerosakan sel darah merah.

Ini memudahkan jangkitan, mengurangkan sel darah putih matang selain membantutkan pertumbuhan platelet iaitu bahan utama dalam kandungan darah.

Pakar Pediatrik Hospital Columbia Asia, Dr Khairul Zaman Omar berkata, tiada sebab mutlak seseorang diserang leukemia, namun ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.

“Antara faktor kanak-kanak dijangkiti leukemia ialah sejarah keluarga yang mengalami sakit sama atau barah, pernah terkena jangkitan virus Epstein-Barr (tidak semua), selepas membuat rawatan kemoterapi dan mengalami penyakit sindrom Down, sindrom fragile-X (sindrom reput-X) serta sindrom Fanconi.



“Jika tidak dirawat segera, ia boleh menyebabkan maut. Meskipun selepas rawatan, perlu sentiasa diawasi kerana leukemia menyebabkan sistem imunisasi pesakit lemah dan tidak normal, malah mudah terkena jangkitan kuman, misalnya fungus,” katanya, baru-baru ini.

Menurutnya, seawal bayi lahir, ia mempunyai risiko dijangkiti leukemia, malah antara lelaki dan wanita, risiko diserang leukemia adalah sama.

“Leukemia boleh berlaku kepada sesiapa saja, sama ada kanak-kanak mahupun dewasa. Orang dewasa lebih berisiko mendapat penyakit ini apabila sering terdedah kepada sinaran.



“Ini termasuk orang yang terselamat dalam letupan bom atom di Jepun, mereka yang terdedah kepada sinaran radiasi selepas bencana loji nuklear Chernobyl, dan mereka yang menerima sinaran pada jumlah banyak sewaktu menjalani rawatan perubatan tertentu pada masa lalu,” katanya.

Di kawasan tertentu dunia, seperti barat daya Jepun, bahagian Afrika dan Caribbean, sejenis leukemia tertentu boleh merebak di kalangan penduduk tempatan disebabkan virus dikenali sebagai Human T cell lymphotropic virus (HTLV).

-Hmetro

Artikel Terkait