Biasa kita dengar kes suami buang isteri, suami halau isteri atau suami ceraikan isteri. Cuma kadang-kadang sahaja ada kes isteri buang suami sebagaimana nasib yang menimpa lelaki ini hanya mahu dikenali sebagai Amin, 24.
Suami dibuang isteri gara-gara baki gaji tinggal RM900
Menurut Amin, dia kini hidup tertekan selepas ‘dibuang’ isteri dan keluarga mentua disebabkan isu kewangan. Dia juga dihalang untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Menurut Amin lagi, dia dan isteri berkahwin pada penghujung 2013 atas dasar suka sama suka, tetapi isterinya mula berubah sikap selepas hampir setahun berumah tangga.
Amin yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan berkata, baki pendapatannya yang hanya tinggal RM900 selepas ditolak pelbagai komitmen lain setiap bulan menyebabkan dia tidak dapat memenuhi kehendak isterinya yang mahu barangan kemas.
“Sejak dilahirkan Jun lalu, saya hanya sempat bertemu dengan anak dua kali. Paling lama pun 10 minit sebelum dihalau keluarga isteri. Kami berkahwin pada penghujung 2013 atas dasar suka sama suka, tetapi dia mula berubah sikap selepas hampir setahun kami berumah tangga. Tanpa memikirkan pendapatan saya yang hanya cukup untuk keperluan harian, dia kerap meminta barangan kemas seperti gelang dan rantai yang berharga ribuan ringgit. Disebabkan saya gagal memenuhi kehendaknya, dia buat perangai dan kami mula bertengkar,” katanya yang ditemui selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada Perunding Motivasi dan Kaunselor Berdaftar Hushim Salleh semalam sebagaimana yang dilaporkan myMetro.
Bukan hanya kerana kekurangan sumber pendapatan, dalam pada itu Amin juga berkata, perangai isterinya berubah selepas dia mendapat pekerjaan dengan gaji lebih tinggi daripadanya.