Fauziah Nawi: Pelakon Baru 'KAYU' Kerana Tiada Asas Lakonan

Pelakon veteran Fauziah Nawi meluahkan rasa kesalnya dengan perkembangan dunia lakonan tanah air ketika ini kerana pelakon-pelakon baru kebanyakkan mereka tampil 'kayu' dalam drama atau telefilem yang dilakonkan kerana tiada asas dalam bidang lakonan.



"Saya bingung dengan apa yang saya lihat sekarang. Saya berasa pening lebih-lebih lagi apabila melihat lambakan drama yang menampilkan pelakon-pelakon utama yang tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan.

"Kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan. Sebagai seorang anak seni yang bergelar pelakon, ilmu itu sangat penting. Saya masih boleh bernafas dalam industri kerana ilmu yang saya kutip daripada cikgu-cikgu saya dulu.

"Tapi pelakon sekarang bekerja disebabkan duit. Bila sudah penat berlakon, masa untuk pergi ke kelas pun tidak dapat diluangkan. Jadi mereka akan menganggap pelajaran dalam lakonan itu tidak penting," katanya kepada Kosmo!

Pada masa sama, pelakon berusia 62 tahun itu turut mengakui dia tidak gemar untuk menonton drama-drama adaptasi novel kerana jalan cerita yang ditampilkan sama sahaja.

Dalam pada itu, Fauziah berkata untuk memulihkan kembali industri lakonan tempatan, pelakon perlu mengubah sikap mereka.

"Sikap sebagai anak seni perlu diubah. Pada masa sama, pihak kerajaan perlu lebih tegas dalam memberikan ruang kepada artis mahupun pihak produksi untuk berkarya.

"Kalau kita tengok, produser tempatan berlumba-lumba melakukan penggambaran di luar negara dan menggunakan artis yang ingin dilihat oleh penonton."