Soalan:
Ustaz, saya inginkan penjelasan tentang apa hukum sekiranya seorang perempuan itu mencukur bulu kakinya? Adakah itu haram? Saya pernah terbaca di internet sebelum ini yang mengatakan mencukur bulu kaki bagi seorang perempuan adalah wajib bagi yang menyerupai bulu kaki lelaki. adakah itu benar, ustaz? Untuk pengetahuan ustaz saya ada seorang kawan yang telah pun mencukur bulu kakinya menggunakan sejenis sabun/ubat yang pernah diperkenalkan melalui iklan di televisyen (Veet). Terima Kasih, ustaz.
Jawapan:
Tidak ada larangan dari Syarak terhadap mencukur bulu kaki. Yang ada larangan hanyalah mencukur/menipiskan bulu kening di mana ia dilaknat oleh Allah sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. dalam hadisnya;
“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang mencukur alis (bulu kening) atau minta dicukur alisnya dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)
Apabila tidak ada larangan, maka ia kekal di atas hukum asalnya iaitu harus. Secara amnya, hukum mencabut bulu di badan adalah seperti berikut;
Mencabut bulu ketiak dan ari-ari; hukumya sunat. Bagi bulu ari-ari yang paling baik ialah mencukurnya. Adapun bulu ketiak yang paling baik ialah mencabutnya. Namun, jika dibuang dengan cara lain dari itu tidak mengapa.
Mencabut bulu kaki dan bulu lengan/betis bagi wanita; harus kerana tidak ada dalil Syarak melarangnya.
Mengilangkan bulu kening; haram sekalipun dengan permintaan suami kerana larangan keras oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis di atas.
Mengenai bahan/ubat/sabun yang digunakan itu, harus jika tidak mendatangkan mudarat kepada badan. Selain itu, hendaklah dipastikan ia suci (tidak mengandungi bahan najis). Jika ada bahan najis, hendaklah dibasuh sebelum mengerjakan solat.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 727 dan 739.
2. Soal jawab agama bersama USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Penasihat Akademik Maahad Darul Faizin. Ilmudanulama. blogspot. com
Jafri Abu Bakar Mahmoodi
Sumber: Maahad Darul Faizin – Rasmi – https://www.facebook.com/MaahadDarulFaizin