Tips: 7 Langkah Persiapan Kesihatan Sebelum Tunai Haji

TAHAP kesihatan yang baik adalah kunci utama ke arah perlaksanaan ibadah haji yang sempurna. Apatah lagi musim haji tahun ini akan bertembung dengan cuaca panas, maka aspek kesihatan perlu diambil berat agar ia tidak mengganggu kesempurnaan ibadah haji.



Beberapa persiapan yang boleh dilakukan dari sekarang, iaitu:

1. Jagalah kesihatan diri sejak dari tanah air lagi. Tingkatkan kecergasan dengan melakukan senaman secara berkala. Mulakan dengan senaman ringan dan kemudian tingkatkan aktiviti senaman itu mengikut kemampuan.

2. Sekiranya bakal haji jatuh sakit selepas lulus pemeriksaan kesihatan, bakal haji hendaklah memaklumkan kepada pegawai perubatan yang berkenaan untuk memasukkan maklumat terkini berkenaan penyakit dan ubat-ubatan ke dalam Buku Rekod Rawatan.

3. Mengambil vaksin Meningococcal (wajib) dan vaksin tambahan seperti vaksin Seasonal Influenza dan Pneumococcal. (Kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan pelalian vaksin Meningococcal ke atas semua bakal haji mulai tahun Hijrah 1421/ 2001 Masihi).

4. Amalkan pemakanan seimbang dan ambil vitamin yang boleh menambah ketahanan badan.

5. Ambillah peluang dari sekarang untuk berhenti merokok. Bakal haji boleh mendapatkan khidmat rawatan berhenti merokok di klinik kesihatan kerajaan yang berhampiran dengan rumah masing-masing.

6. Bagi jemaah wanita yang hendak mengambil ubat penahan haid, berjumpalah dengan doktor untuk membincangkan ubat yang bersesuaian. Jangan beli ubat sendiri dari farmasi tanpa mendapat nasihat doktor. Sekiranya telah di beri ubat, maka pastikan makan ubat penahan haid seperti yang diarahkan oleh doktor, mengikut waktu yang ditetapkan.

7. Kenal pasti waris yang akan menemani anda. Peringatan kepada waris yang menemani ibu bapa yang uzur serta warga emas supaya tidak mengabaikan tanggungjawab menjaga jemaah haji tersebut. Tunaikanlah amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan sempurna.

MAKLUMAN BERKAITAN MERS-CoV

Semenjak 2012, dunia telah dikejutkan dengan jangkitan MERs-CoV dan baru-baru ini jangkitan tersebut telah dilaporkan di Republik Korea. MERS-CoV adalah salah satu ahli keluarga (strain) daripada kumpulan coronavirus dan boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan.

Punca jangkitan dipercayai daripada pendedahan kepada ‘punca bukan manusia’ contohnya haiwan ternakan seperti unta di negara-negara Asia Barat. Cara jangkitan masih lagi belum dapat dikenalpasti; dipercayai melalui ‘droplets’ dan terdapat jangkitan daripada manusia ke manusia.

Tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. World Health Organization (WHO) juga setakat ini tiada mengeluarkan sekatan perjalanan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia telah melakukan pemantauan MERS-CoV ke atas jemaah haji bermula dari musim haji 1433H/2012M. Pendidikan kesihatan kepada bakal haji telah disampaikan melalui penganjuran Kursus Asas dan Intensif Haji anjuran Lembaga Tabung Haji. Pengurusan kes MERS-CoV daripada kalangan jemaah haji di Tanah Suci juga akan mengambil kira garis panduan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan WHO.