Benarkah Misai Harimau Buat Manusia Jadi Kebal?

Misteri Misai Harimau Beri Kekebalan Terbongkar

Kepercayaan mistik menebal kononnya organ harimau belang mempunyai kuasa magis antara punca berpuluh ahli perniagaan tempatan diperbodohkan kerana sanggup membayar ratusan ribu ringgit bagi memperoleh kuku, taring atau kulit haiwan itu.

TARING dan kuku harimau yang disadur emas


Berdasarkan maklumat, ramai mangsa termasuk orang kenamaan sanggup melabur wang membeli kuku atau taring harimau yang disadur dengan emas untuk dijadikan loket rantai memetik Harian Metro.

Sumber berkata, masih ramai taksub kuku harimau boleh membawa tuah dan kuasa perlindungan kepada mereka yang memakainya.

“Malah, ada antara kedai emas atau kedai menjual barangan antik dikesan menjual kuku harimau ini secara eksklusif termasuk bagi menyembuh penyakit insomnia dan kebal demam.

“Terdapat kepercayaan lain kononnya misai harimau dan ekor haiwan buas ini mempunyai kuasa ajaib melindungi individu daripada disihir atau santau,” katanya.

Bagaimanapun kulit pada bahagian dahi kepala harimau dianggap paling mahal berikutan ia dianggap boleh membawa tuah dan mengubah nasib malang pemiliknya.

“Selain itu segelintir pengamal perubatan tradisional percaya zakar dan hempedu harimau mampu mengubati penyakit tulang, sawan, kusta dan sendi.

“Lebih menggelikan hati apabila tahi haiwan itu turut diburu kerana didakwa boleh merawat bisul, buasir dan menyembuhkan ketagihan arak jika dimakan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Abdul Kadir Abu Hashim memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau menyimpan organ harimau dilindungi.

Menurutnya, suspek yang memiliki kulit atau bahagian haiwan itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 68(2)(C) dan Seksyen 87 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Orang ramai perlu berhati-hati berikutan ada sindiket yang menjual organ tiruan harimau untuk mengaut keuntungan mudah. Ada antara bahagian kulit atau kuku dijual itu disyaki diperbuat dari plastik serta kulit lembu yang dicat.

“Saya yakin ramai yang sudah ditipu ahli sindiket ini yang mengambil kesempatan terhadap terhadap sikap taksub masyarakat,” katanya.

Pihak Perhilitan sebelum ini berjaya menahan tiga warga India sindiket ‘Geng Rajja’ yang giat menjual kulit dan bahagian hidupan liar di Lembah Klang sejak lebih setahun lalu.

Penahanan suspek pada 27 Ogos lalu membawa kepada rampasan 12 jenis barangan bernilai RM100,000 termasuk lima keping kulit harimau belang, 25 unit gigi harimau, 17 unit bahagian tapak depan harimau belang, 471 unit kuku harimau dan 309 cebisan kulit hidupan liar.

Jabatan Perhilitan turut merampas 20 unit urat hidupan liar, sebungkus plastik kecil mengandungi kuku hidupan liar selain 120 cincin dan 242 gelang disyaki mengandungi bulu gajah.