Sudahkah anda pergi ke majlis perkahwinan rakan-rakan anda pada hari ini? Tahukah anda bahawa kebanyakan pengantin mempunyai debaran yang sama ketika majlis persandigan mereka? Walaupun naik pelamin sehari sahaja tetapi apa sahaja boleh terjadi walaupun perkara dirancang sebulan lamanya.
Berkongsi artikel yang digarap dari blog Vitdaily, di bawah adalah perkara-perkara yang bakal pengantin tidak mahu berlaku pada hari persandingan..
1. Baju Pengantin Tidak Sempat Siap
Punyalah lama anda tempah baju dengan kain mahal import dari Istanbul bagai, tapi bila sudah dekat tarikh persandingan, tukang jahit bagi pelbagai macam alasan lagi. Tunggu punya tunggu, akhirnya tukang jahit datang juga tapi bawa kain belum potong. Bersandinglah anda dengan gaya kain potong, lilit-lilit badan.
2. Baju Terkoyak
Siapa yang tengah baca artikel ini sekarang pernah duduk mengumpat pengantin di meja makan sambil kata baju mereka pakai ketat sangat? Jangan tipu kami cakap anda tidak pernah buat perangai semacam ini. Tapi siapa yang dapat tengok baju pengantin terkoyak, itu bonus buat anda. Sudah tahu hendak bersanding, berusahalah untuk kurus, walau sehari.
3. Makanan Untuk Tetamu Tidak Cukup
Kita sudah beritahu katering bahawa 2000 orang tetamu akan hadir. Harga murah sebab first time katering handle wedding. Biasanya debaran bab makanan bermula apabila semakin ramai orang datang dan seakan-akan makanan tak cukup. Oh no. Mahu jemput orang makan haruslah cukup. Yang datang ke majlis anda pula macam dari Kelab Obesiti Malaysia pula.
Penyelesaian bab makanan ini sebenarnya terletak pada perbincangan yang jelas dengan pihak katering. Jika di kampung, orang-orang rewang biasanya sudah masak sangat dengan urusan makanan ini. Pastikan hidangan untuk pasangan pengantin dapat udang galah dan hati ayam cucuk dan ayam golek. Makan terus tidak ingat dunia, patutlah baju koyak.
4. Photographer atau Videographer Tidak Hadir
Sebelum hari persandingan anda sudah survey photographer paling terbaik dan videographer berprofil tinggi, siap pernah cover event antarabangsa. Maklumlah. sekali ini sahajalah anda mahu bersanding pun (jika isteri izinkan, bersanding dengan isteri kedua pula).
Duit pendahuluan sudah dibayar, tapi bila tiba hari persandingan, mereka tidak muncul. Bila ditelefon, tidak berjawab. Whatsapp keluar tick biru tidak balas. Katakanlah keadaan ini terjadi pada anda, gunakan adik-adik anda. Tangkap pakai smartphone pun boleh, asalkan gambar ada. Jika tak malu, boleh guna iPad. Yang penting, malam pertama nanti boleh tambah filter di Instagram.
5. Rakan Karib Tidak Hadir
Kita punyalah siapkan list nama kawan-kawan karib dari sekolah rendah sampai universiti. Kita siap tempah kad undangan yang istimewa untuk mereka. Kita mengharapkan mereka hadir dan memeriahkan majlis persandingan kita.
Tapi, bila sampai hari persandingan kita, seorang dua sahaja yang nampak batang hidung. Itu pun yang tidak berapa kenal sangat, yang lain hanya mengirimkan salam sahaja kerana ada hal lain (atau ada majlis kahwin rakan yang mereka lagi rapat daripada anda). Akhirnya, kawan yang tidak berapa karib yang ramai memenuhi majlis anda. Tolong jangan ada sikap pilih kawan begini ya.
6. Pelamin Runtuh
Tengah seronok anda bersanding di atas pelamin berharga RM30,000 itu, rakan-rakan sekolah rendah datang menerjah anda. Boleh tahan popular juga anda disekolah dulu sebab yang datang hampir 30 orang. Semuanya mahu bergambar serentak dengan anda. Anda mesti tidak mahu menghampakan mereka. Pelbagai saiz pinggang dan peha mula membanjiri pelamin mahal anda. Pelamin start bunyi-bunyi dan senget sebelah. Tidak mustahil ya pelamin yang gah berdiri itu akan bertukar menjadi serpihan-serpihan kayu kerana tidak dapat lagi menampung berat maksimum. Kaboommm.
7. Demam
Pelbagai persiapan perkahwinan anda telah berjaya anda siapkan. Semua benda anda mahu buat sendiri. Dari bekas telur sampai ke hiasan pelamin semua anda mahu buat sendiri. Bila sampai hari persandingan, kepala anda mula terasa berat dek kerana kurang rehat selama berbulan-bulan. Awas, anda mungkin pengsan semasa sedang bersanding. Kesian pasangan anda, nanti bersanding sorang-sorang pula atau mungkin ada pak cik yang boleh jadi back up anda. Ketar-ketar kepala pak cik anda.
8. Bekas Kekasih Datang Merayu
Aduh, ini kes berat. Sehari sebelum persandingan anda, bekas kekasih anda beritahu anda supaya memikirkan semula keputusan anda untuk berkahwin dengan pasangan anda itu (macam dalam drama Melayu biasa kita tengok). Perasaan anda mula bercampur-baur.
Tapi, anda berjaya buang perasaan ragu-ragu itu dan memberitahu anda telah buat keputusan yang terbaik untuk diri anda. Semasa hari persandingan, jika bekas kekasih anda datang merayu dihadapan anda sambil disaksikan oleh ahli keluarga dan para jemputan, lagi sadis. Manis sangat janji-janji kau tebarkan wahai Romeo.
Apa-apa pun, persediaan setiap persandingan itu adalah terpulang kepada kemampuan pasangan tersebut. Tidak guna juga berhabis ribuan ringgit pada hari persandingan tetapi berhutang. Sederhana adalah sebaiknya.
Jika ada yang teringin jemput kami makan kenduri, pastikan yang ada lauk ayam masak lemak pedas tambah ulam dan sambal belacan. Fuh, berpeluh dahi makan.