MAMAT EXIST MENYESAL – JADIKAN SEJARAH HITAM SEBAGAI IKTIBAR

Selepas mendapat tempat ketiga dalam program Gegar Vaganza musim pertama, bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat terus lesap dalam dunia seni.



MAMAT EXIST MENYESAL | Ada yang mendakwa, Mamat lesap kerana ‘gelap mata’ dengan wang kemenangan RM20,000. Tambah hangat, Mamat turut dilaporkan ditahan kerana memiliki dadah pada Mac tahun lalu.

Peminat mula khuatir, Mamat ‘hilang arah’ lagi. Dia juga dikatakan sukar dihubungi, termasuk oleh pihak pengurusan Astro yang mahu mencarinya bagi menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tampil memberi penjelasan, Mamat memberitahu, telefon bimbitnya bermasalah. Bercakap kepada BH Online, Mamat berkata:-

“Saya mendapat berita mengenai konsert ini daripada abang saya, Noh. Saya dapat tahu pihak Astro gagal menghubungi saya. Sebenarnya, saya tidak ke mana-mana. Cuma kad SIM dalam telefon bimbit saya bermasalah dan saya baru saja menukarnya.

“Berita kononnya saya sudah berumah tangga sekali lagi itu tidak benar. Saya masih seperti dulu, cuma sibuk menguruskan perniagaan di Johor selain undangan nyanyian,” katanya.

Masih di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama lima tahun, Mamat mengakui pergerakannya sedikit terbatas. Ini kerana setiap kali mahu keluar dari Johor, Mamat perlu melapor diri di balai polis berhampiran. Mengakui sukar, namun Mamat perlu akur dengan peraturan pihak berkuasa demi meneruskan karier seni.

“Saya datang menjayakan Konsert Mega Gegar Vaganza ini kena lapor diri. Tetapi, ia bukanlah masalah besar. Janji, saya ikut arahan yang ditetapkan dan keluar atas urusan kerja, itu tidak jadi masalah,” katanya.

Mamat memberitahu, bidang nyanyian masih menjadi sumber pendapatan utamanya. “Sehubungan itu, saya tidak akan sesekali meninggalkan bidang ini. Selepas terbabit dengan isu dadah, kesannya sangat besar terhadap kerjaya seni.

“Saya sangat menyesal. Tetapi, saya jadikan itu sebagai pengajaran,” katanya.