Benarkah Wanita Muslimah Dilarang Berpakaian Selain Bewarna HITAM??

Ustazah, benarkah seorang perempuan hanya boleh memakai pakaian berwarna hitam agar tidak menarik perhatian lelaki? Kawan saya kata ada dalil yang mengatakan pakaian terbaik untuk wanita adalah yang berwarna seperti burung gagak (warna gelap), betul ke wujud hadis itu ustazah?



Ok, macam mana pula jika saya beli pakaian, dan kebiasaannya saya akan memilih pakaian yang saya rasakan cantik pada pandangan saya tetapi saya tiada niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain pakaian saya ini cantik @ mahu dipuji, dan saya juga tidak pernah berniat untuk menarik perhatian lelaki. Saya juga pernah ditegur oleh seorang muslimin yang mana katanya: Anti belajar agama, tetapi kenapa masih mengenakan tudung berwarna?? Saya buntu ustazah.

Setiap orang ada warna kegemaran masing-masing, dan saya pula memang jenis yang tidak suka warna pakaian yang gelap-gelap. Kalau dalam keadaan macam ni, apa hukumnya ustazah? Berdosakah saya jika saya memilih pakaian yang berwarna selain hitam namun saya tidak sama sekali memakai perfume @ make-up @ perhiasan-perhiasan lain apabila keluar rumah?


Jawapan:
Seorang wanita itu asal kejadiannya memang cantik walau tanpa solekan dan perhiasan. Kerana Islam mengangkat tinggi martabat seorang wanita, justeru Islam mensyariatkan agar wanita-wanita yang beriman menutup auratnya.

Sebahagian mereka yang istiqamah mentaati ajaran agama berpegang bahawa warna pakaian yang mesti dipakai oleh wanita adalah warna hitam atau gelap. Mereka menganggap, memakai pakaian selain warna tersebut merupakan satu tindakan tabarruj. Ini adalah pandangan yang keliru.


Warna pakaian wanita tidak ada standard khas dalam Islam. Ia bergantung dengan kebiasaan di negeri masing-masing. Namun jika pakaiannya berwarna-warni, ditambah aksesori bunga dan lain-lain yang dapat menimbulkan godaan dan membuat lawan jenis jadi tertarik, maka jelas tidak dibolehkan.

Terdapat beberapa riwayat hadis dan athar (kata-kata sahabat) yang menunjukkan sebahagian kaum wanita shahabiyyat memakai pakaian berwarna selain warna hitam. Di antara hadis dan athar tersebut adalah:

عن عكرمة أن رفاعة طلق امرأته، فتزوجها عبد الرحمن بن الزبير القرظي. قالت عائشة: وعليها خمار أخضر، فشكت إليها وأرتها خضرة بجلدها. فلما جاء رسول الله صلى الله عليه وسلم والنساء ينصر بعضهن بعضا، قالت عائشة: ما رأيت مثل ما يلقى المؤمنات لجلدها أشد خضرة من ثوبها.
Dari ’Ikrimah: Bahwasannya Rifa’ah menceraikan isterinya yang kemudian dinikahi oleh ’Abdurrahman bin Az-Zubair Al-Quradhy. ’Aisyah berkata : ”Dia memakai tudung yang berwarna hijau, akan tetapi dia mengeluh sambil memperlihatkan warna hijau pada kulitnya”. Ketika Rasulullah sallallahu ’alaihi wasallam tiba -dan para wanita menolong satu sama lainnya-, maka ’Aisyah berkata: “Aku tidak pernah melihat keadaan yang terjadi pada wanita-wanita beriman, warna kulit mereka lebih hijau daripada bajunya (kerana kelunturan)” [HR. Al-Bukhari no. 5487].

Corak ringkas berwarna hitam, hijau, dan kuning.

عن أم خالد بنت خالد أتى النبي صلى الله عليه وسلم بثياب فيها خميصة سوداء صغيرة، فقال: من ترون أن نكسو هذه؟ فسكت القوم. فقال: ائتوني بأم خالد. فأتي بها تحمل، فأخذ الخميصة بيده، فألبسها. وقال: أبلي واخلقي، وكان فيها علم أخضر أو أصفر.
Dari Ummu Khaalid binti Khaalid: ”Nabi sallallaahu ’alaihi wasallam datang dengan membawa beberapa helai pakaian yang mempunyai corak kecil warna hitam. Baginda berkata: ”Menurut kalian siapa yang sesuai untuk memakai baju ini?”. Semua diam. Baginda kemudian berkata: ”Panggil Ummu Khaalid”. Maka Ummu Khaalid pun datang dengan didukung. Nabi sallallaahu ’alaihi wasallam mengambil pakaian tersebut dengan tanggannya dan kemudian memakaikannya kepada Ummu Khaalid seraya berkata: ”Pakailah ini sampai rosak”. Pakaian tersebut dihiasi dengan corak lain berwarna hijau atau kuning” [Diriwayatkan oleh Al-Bukhari no. 5485].

Warna Kuning

ولبست عائشة رضى الله تعالى عنها الثياب المعصفرة وهي محرمة
”Aisyah radliyallaahu ’anha memakai pakaian yang berwarna kuning ketika sedang ihram”
[Diriwayatkan oleh Al-Bukhari secara mu’allaq yang kemudian di-maushul-kan oleh Sa’iid bin Manshuur dengan sanad shahih; lihat Mukhtashar Shahih Al-Bukhari 1/457 oleh Al-Albani. Hal yang serupa juga diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf, Kitaabul-Libaas waz-Ziinah 8/372 dengan sanad shahih].

Riwayat-riwayat di atas menunjukkan pakaian yang dibenarkan untuk Muslimah tidak semestinya berwarna hitam.

Ulama senior di Kerajaan Arab Saudi dan angota Hay-ah Kibaril Ulama’ ditanya: “Adakah boleh memakai tudung yang berwarna (selain hitam)?”

Beliau hafizhohullah menjawab:

“Jika engkau maksudkan adalah memakai jilbab warna-warni yang menutupi wajah dan telapak tangan lantas menimbulkan fitnah atau godaan, maka sudah pasti sahaja tidak dibolehkan.

Jika yang dimaksud adalah jilbab selain warna hitam iaitu jilbab warna putih, hijau, merah atau selain itu dan di negeri tersebut sudah terbiasa dengan jilbab warna sebegitu, maka tidak mengapa. Ini kerana pakaian (kata para ulama) dikembalikan kepada ‘urf, iaitu kebiasaan masyarakat sekitar. Dikecualikan di sini untuk pakaian yang terdapat larangan khusus seperti pakaian yang dicelup dengan ‘ushfur, za’faron atau pakaian warna merah, semua pakaian seperti  itu dilarang bagi lelaki. Selain daripada pakaian jenis pakaian tadi, maka dikembalikan pada ‘urf (kebiasaan masyarakat). Untuk wanita, jika warna pakaian dimaksudkan untuk berhias diri, maka tidak boleh, kerana Allah Ta’ala berfirman:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ
“Janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka.” (QS. An Nur: 31).

Akan tetapi, bukan pula saya hendak mengingkari jika ada orang yang mengatakan bahawa pakaian berwarna hitam atau gelap lebih baik dan lebih melindungi aurat seorang wanita. Bahkan warna hitam atau gelaplah – menurut saya – warna yang paling baik di antara semua warna yang dipakai oleh wanita (jika kita hendak menghubungkan dengan kesempurnaan persyariatan pakaian seorang wanita muslimah). Warna itulah yang banyak dipakai oleh para shahabiyyat, sebagaimana tergambar dalam riwayat:

عن أم سلمة قالت : لما نزلت يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلابِيبِهِنَّ خرج نساء الأنصار كأن على رؤوسهن الغربان من الأكسية
Daripada Ummu Salamah radiallaahu ‘anha dia berkata : “Ketika turun ayat “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” (QS. Al-Ahzaab : 59), maka keluarlah wanita-wanita Anshar (dari rumah mereka) dimana seakan-akan di atas kepala mereka terdapat burung gagak dari pakaian (warna hitam) yang mereka kenakan” [HR. Abu Dawud no. 4101; shahih].

Kesimpulannya:
1.      Tiada warna khas untuk pakaian Muslimah.
2.      Ia bergantung dengan kebiasaan di negeri masing-masing, bahkan warna hitam pun sudah jadi fesyen model-model sekarang.
3.      Walaupun Islam tidak menetapkan warna pakaian yang khas bagi wanita, namun ia tetap dilarang memakai pakaian syuhrah (kemasyhuran) yang disebabkan itu dia menjadi bahan perhatian bagi masyarakat di tempat dia tinggal.
4.      Warna hitam atau gelap adalah warna yang paling baik di antara semua warna yang dipakai oleh wanita (jika kita hendak menghubungkan dengan kesempurnaan persyariatan pakaian seorang wanita muslimah).

Diringkaskan daripada:
http://rumaysho.com/muslimah/menggunakan-jilbab-putih-atau-selain-hitam-3020
http://jilbab.or.id/archives/188-artikel-jilbab-wanita-muslimah-ii/
http://abul-jauzaa.blogspot.com/2008/06/warna-pakaian-akhwat-hitamgelap.html