Berpuasa Tapi Tidak Sembahyang - Apa Hukumnya?

Tags



Kita biasa dengar bila bulan ramadhan tiba, ramai yang tak sabar untuk berpuasa. Tapi ada segelintir umat Islam yang berpuasa tapi tidak menunaikan solat. Jika membuka aurat, menyebabkan pahala puasa berkurangan, mengumpat menyebabkan pahala puasa berkurangan, berbohong menyebabkan pahala puasa berkurangan, lalu apa lagi jika meninggalkan solat?

Maka, di bulan mulia ini, jadikanlah Ramadhan ini akademi untuk kita melengkapkan kewajipan yang selama ini kita abaikan. Rasa sangat hina, jika kita berpuasa, tetapi solat wajib tidak didirikan.

Apakah kita mahu puasa kita sekadar lapar dan dahaga. Puasa apakah ini ketika mana kita malas dan lalai daripada solat. Puasa apakah ini?

Di sini, Popiyah ingin kongsikan apa hukum berpuasa tapi tidak solat agar kita dapat memahami betapa besarnya dosa meninggalkan solat.

Nukilkan pendapat Syeikh Yusuf al-Qaradhawi melalui kitabnya, Fatawa Muasirah:

“Orang Islam dituntut melakukan semua ibadat, iaitu mendirikan sembahyang, membayar zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan haji jika berkemampuan. Sesiapa yang meninggalkan salah satu ibadat ini tanpa keuzuran, dia telah melampaui batas terhadap Allah.”

Ulama Islam telah mengeluarkan berbagai-bagai pendapat, sesetengahnya berpendapat kufur jika meninggalkan salah satu ibadat ini. Ada pula yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dan enggan membayar zakat. Sebahagian berpendapat yang lain pula hanya orang yang meninggalkan sembahyang sahaja menjadi kufur kerana kedudukan sembahyang yang tinggi di dalam Islam.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan:

“Di antara hamba dan kekufuran itu ialah meninggalkan sembahyang.”

Ulama yang mengkafirkan orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, dengan sendirinya berpendapat bahawa puasa orang itu juga tidak diterima kerana orang kafir itu sendiri amalannya tidak diterima.

Sesetengah ulama masih lagi mengiktiraf keimanan dan keislamannya selama mana orang itu masih mempercayai kebenaran Allah dan Rasul-Nya serta tidak membangkang atau mencela apa yang dibawa Rasulullah SAW. Mereka menyifatkan orang seperti ini sebagai fasik.

Mudah-mudahan pendapat ini lebih benar dan adil. Jika dia mengurangkan sebahagian daripada ibadatnya yang wajib kerana malas atau mengikut hawa nafsu, tanpa mengingkari atau mempermain-mainkannya dan dia juga melakukan ibadat-ibadat yang lain, dia dikira Muslim yang tidak sempurna, imannya lemah dan dan jika berterusan meninggalkannya, Allah tidak mensia-siakan amalan kebaikannya.

Pahala terhadap apa yang telah dilakukannya tetap ada, sebaliknya dia berdosa di atas ketelanjurannya. Allah SWT berfirman:

وَكُلُّ صَغِيرٍ وَكَبِيرٍ مُّسْتَطَرٌ
Maksudnya: “Dan segala urusan yang kecil mahupun yang besar adalah tertulis.”

(Surah al-Qamar: 53)

Firman-Nya lagi:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿۷﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرَّا يَرَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat pembalasannya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya dia akan menerima balasannya pula.”

(Surah al-Zalzalah: 7-8)

Inilah sebahagian daripada Ahkam al-Siyam yang ingin dibentangkan kepada masyarakat Islam agar difahami dengan jelas untuk menjadikan puasa benar-benar menepati syariat.

Kesimpulan:  “Solatlah kemudian tunaikanlah puasa.” Adapun jika engkau puasa namun tidak solat, amalan puasamu akan tertolak kerana orang kafir (disebabkan meninggalkan solat) tidak diterima ibadah daripadanya.

Artikel Terkait